pK

Hadiah Hari Guru...[dari antologi Sehijau Warna Daun]

Ramli seorang saja yang duduk di mejanya di belakang darjah itu. Dia mengeluarkan sehelai kertas dan melukis sesuatu, sementara rakan-rakannya selesai menyampaikan ucapan dan hadiah masing-masing.
Seorang rakan sedarjahnya yang paling nakal datang menghampirinya setelah menyerahkan sebungkus hadiah yang besar kepada Cikgu Fatimah. “Apa yang kau lukis itu, Ramli?” tanyanya.
“Tak ada apa-apa. Saja-saja melukis,”jawabnya.
“Eh kawan-kawan tengok lukisan ini...! Ramli lukis bukit dan pokok. Tengok ada Sang Kancil sedang makan pucuk-pucuk kayu tu...,” jerit murid tersebut setelah menyentak kertas di atas meja Ramli.
Rakan-rakannya berkerumun melihat lukisannya.
“Heee! Apa yang dilihat tu?” tanya Cikgu Fatimah.
“ Sazali beri balik kertas itu pada Ramli,” suruh Cikgu Fatimah.
“Nah! Ambillah sayang, intan payung, manja Cikgu Fatimah,” Ejek Sazali sambil melayangkan kertas itu kepada Ramli.
“Sazali tak baik kata macam tu pada Ramli. Tak ada anak emas, anak perak, anak tembaga dalam kelas ini. Semua murid-murid cikgu sama saja. Kalau baik cikgu sayang, kalau jahat cikgu marah, supaya jadi baik. Faham?” Herdik Cikgu Fatimah.
“ Faham cikgu,” jawab Sazali sambil menjuihkan mulutnya ke arah Ramli.
Ramli diam membisu.

#########

Ramli melihat susuk tubuh ibunya penuh penderitaan, akan tetapi wajahnya amat manis, dengan senyuman terukir di bibirnya. Betapa ibunya berusaha benar menyembunyikan penderitaan itu di sebalik senyumannya. Dia tahu bahawa ibunya bertanggungjawab terhadap dirinya dana adik-adiknya juga.
Dia meletakkan kasutnya dengan baik di atas tempat letak kasut yang diperbuat daripada tong. Tempat itu dibuat oleh ibunya sendiri. Kasut adik-adik dan ibunya teratur rapi. Ternyata ibunya amat mementingkan kebersihan dan kesempurnaan.
Bajunya ke sekolah, meskipun bertampung akan tetapi sentiasa bersih. Ibunya tidak sanggup melihat dia memakai pakaian yang kotor ke sekolah.
Begitu juga setiap peralatan di rumahnya tersusun rapi. Halaman rumahnya bersih. Rumput tidak berpeluang menghulurkan pucuknya. Ibunya seing meminta dia
menolong membersihkan rumput-rumput itu. Bersama adiknya dia tolong membersihkannya.
Kebiasaannya itulah membendung diri dan adik-adiknya menjaga kebersihan pakaian dan rumahtangganya.
“Emak! Esok Hari Guru di sekolah Ramli. Ramli ingin hadiahkan sesuatu kepada Cikgu Fatimah, mak. Dia baik kat Ramli.” Harapan itu disampaikan kepada ibunya ketika dia sedang makan bersama ibu dan adik-adiknya.
Ibunya mengangguk-angguk. Akan tetapi tergambar kemuraman di wajahnya. Nasiyang disuapnya dikunyah perlahan-lahan. Dia tahu ibunya sedang memikirkan harapannya itu.
“Ramai kawan-kawan Ramli bercakap-cakap di sekolah tadi. Mereka nak hadiahkan jam tangan. Ramli nak hadiahkan apa, mak? tanya anak itu lagi.
Mak Sopiah menuangkan air ke dalam pinggannya sambil membersihkan tangannya. Wajahnya menunduk keharuan. Air matanya bergenang di pelupuk matanya. Dia mengesat air mata itu dengan lengan bajunya.
“Eh! Mak dah sudah makan? Sikit sangat mak makan hari ini,” tegur Ramli.
“Kau makanlah. Mak dah kenyang,” ujar Mak Sopiah lagi.
Ramli tahu emaknya tidak kenyang, akan tetapi terharu kerana tidak dapat memberikan apa-apa hadiah untuk gurunya.
“Tak apa mak, kalau mak tak boleh bagi hadiah pada Cikgu Ramli tu. Cikgu Fatimah dah pesan beberapa kali kepada kami jangan susah-susahkan ibu bapa memberi hadiah padanya,” jelas Ramli dengan harapan menenangkan perasaan ibunya.
Mak Sopiah tersenyum. Dia bangun sambil membawa pinggannya ke pelantar untuk dibersihkan. “Bila kau dah selesai makan, tolong bawa pinggan-pinggan tu ke pelantar,” pinta ibunya.
“Baik, mak,” katanya.
#########################

Selesai menerima hadiah-hadiah, Cikgu Fatimah mengucapkan terima kasih kepada murid-muridnya. Apabila loceng berbunyi pagi itu semua murid dan guru turun ke padang untuk turut serta dalam sukaneka. Selepas itu persembahan pentas pula diadakan sebagai tanda kemesraan antara guru-guru dengan murid-murid sempena Hari Guru pada hari tersebut.
Cikgu Fatimah amat riang kerana antara guru-guru sekolah itu, dialah yang paling banyak menerima hadiah daripada muridnya.
Mereka sama-sama membuka hadiah masing-masing di dalam bilik guru. Satu demi satu hadiah dibuka oleh mereka. Bermacam-macam hadiah yang mereka dapat. Kebanyakannya dibeli di supermarket atau di kedai-kedai.
Sekali-sekala, Cikgu Harun yang pandai berjenaka menjerit apabila dia mendapat hadiah sehelai tuala kecil. Dia segera mengesat peluh dengan tuala tersebut. Ada guru yang mendapat hadiah baju, stoking, kasut, lampu meja, jam tangan, dan tidak kurang pula yang paling lucu ada antara mereka yang mendapat hadiah tisu dan botol susu yang berbungkus besar tanpa bertulis nama pada hadiah tersebut.
##############
Tiba-tiba berjurai air mata mengalir keluar mengaliri pipi Cikgu Fatimah sebaik sahaja habis membaca surat tersebut. Cikgu Faridah dan Cikgu Noriah turut terharu ketika sama-sama membacanya. Cikgu Fatimah menundukkan mukanya ke meja dan menangis teresak-esak.

“Eh! Tadi Cikgu Darus ketawa. Tiba-tiba Cikgu Fatimah menangis pula. Ada apa ni, mari saya baca,” minta Cikgu Harun. Dia kehairanan melihat keadaan tersebut.

Cikgu Harun selesai membaca. Dia merenungi hadiah tersebut. “Benar! Inilah hadiah yang paling murni. Hadiah yang ikhlas dan jujur. Lebih baik dari hadiah-hadiah yang mahal-mahal tu jika untuk bermuka-muka,” katanya, turut terharu apabila melihat hadiah tersebut.

Cikgu Abdullah juga turut terharu apabila membaca surat itu. “Cikgu Fatimah,” kata Guru Besar, “terimalah hadiah yang ikhlas dan jujur daripada murid cikgu tu. Saya rasa kita patut membantunya.”

“Ramli tu murid yang baik, cikgu. Saya pernah melawat rumahnya. Dia memang miskin, tetapi ibunya sangat bertanggungjawab. Pakaian sekolahnya sentiasa bersih. Ramli tu, faham pula dengan keadaan hidupnya,” terang Cikgu Fatimah sambil tersedu-sedu.

“Oh! Kalau begitu dia patut mendapat bantuan dari sekolah kita,” tegas Cikgu Abdullah.

“Saya ingin jadikan dia anak angkat saya, cikgu,” Cikgu Fatimah meluahkan hasratnya pula.

“Hm! Memang baik begitu. Sempena Hari Guru kita pada tahun ini sepatutnya ada sesuatu kebaikan yang dapat kita lakukan. Saya berharap cikgu-cikgu yang lain juga dapat lakukan sesuatu kepada murid-murid lain yang susah seperti murid Cikgu Fatimah tu,” syor Cikgu Abdullah kepada guru-guru sekolahnya.

“Insya-Allah,cikgu. Kami juga akan menuruti jejak Cikgu Fatimah,” ujar Cikgu Harun.

Guru-guru yang lain mengangguk-angguk.

“Cikgu Fatimah, maafkan saya kerana menyinggung perasaan cikgu tadi,” kata Cikgu Darus. Cikgu Fatimah tersenyum. Mereka bersalam-salaman.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

1 Response to "Hadiah Hari Guru...[dari antologi Sehijau Warna Daun]"

  1. UniMeOw says:
    December 12, 2011 at 12:44 PM

    cter yg paling menyentuh hati..